Cerita Alyah mahu memboikot media (Utusan) heboh diperkatakan dalam kalangan media. Malah laman portal akhbar itu turut menyiarkan perkara ban atau boikot tersebut menyebabkan ramai peminat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap Alyah.
Situasi itu menyebabkan timbul pandangan sinis terhadap Alyah dengan mendakwa penyanyi itu bertegas tidak kena tempat. Timbul juga spekulasi perkara ini berlaku disebabkan salah faham.
Kisah artis boikot media bukan perkara baru malah sebelum ini kecoh juga dengan kisah selebriti dan pengacara popular boikot akhbar sama dan ia bukan satu rahsia tapi diakui selebriti itu sendiri.
Mengenali Alyah, tidak mungkin penyanyi asal dari Gelang Patah, Johor ini akan mengambil tindakan sejauh itu, sebaliknya kemungkinan keputusan diambil diputuskan pengurusnya, Shuib Ismail.
Mereka menyatakan Alyah tahu mengenai perkara itu dan ada antara rakan wartawan menegaskan perkara sama pernah berlaku membabitkan artis di bawah pengurusan Shuib. Bagaimanapun apabila pengarang akhbar itu menghubungi Alyah bagi mendapatkan penjelasan, ia tidak berjawab.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang isu ini, wartawan Selebriti menghubungi Alyah dan Shuib bagi mengetahui apa sebenarnya berlaku sehingga mereka mengambil keputusan untuk memboikot akhbar yang menyiarkan berita mengaitkan penyanyi itu mempunyai hubungan istimewa dengan seorang komposer terkenal.
Menurut Alyah, dia terkejut apabila membaca sendiri berita disiarkan portal berita akhbar dimaksudkan kerana sebelum itu tiada wakil dari akhbar itu bertanyakan mengenai isu diperkatakan (memboikot).
“Siapa saya untuk memboikot media yang selama ini banyak menyokong kerjaya seni saya. Saya ini sangat kerdil dalam industri seni untuk memboikot media yang memang diperlukan bagi memastikan kelangsungan kerjaya. “Saya sedaya upaya cuba memberi kerjasama, jadi apabila mereka mendakwa sedemikian sudah tentu saya berasa kecewa. Tambah pula apa yang dinyatakan tidak pernah keluar dari mulut saya sendiri,” katanya.
Kata Alyah, sepanjang bergelar artis jarang sekali dia menghampakan permintaan wakil media dari akhbar arus perdana itu termasuklah untuk mengadakan sesi fotografi mahupun temuramah. Selepas membaca berita disiarkan laman portal berita akhbar arus perdana itu, Alyah dapat menghidu wartawan yang menulis tidak menyukainya secara peribadi dan ia lebih kepada artikel luahan perasaan berbanding berita melaporkan kedudukan sebenar.
“Kalau orang suka dengan saya, alhamdulillah tetapi kalau tidak suka, hendak buat macam mana. Percayalah saya tidak pernah membuat keputusan untuk memboikot mana-mana media dan perkara yang dilaporkan itu tidak pernah keluar daripada mulut saya,” katanya.
Alyah turut menafikan dakwaan bahawa Shuib bermasalah dalam menguruskan kerjaya seninya sehingga timbul cerita dia mahu memboikot media. Malah setiap kali mahu membuat sebarang keputusan, mereka akan berbincang terlebih dulu.
“Saya tidak pernah ada masalah sepanjang Shuib menguruskan kerjaya seni saya. Kalau ada pun perkara berbangkit itu saya anggap biasa tetapi bukanlah isu besar seperti ini. “Sebagai pengurus, saya faham ada ketika dia mahu melindungi saya. Shuib pula selalunya akan menjelaskan satu persatu kalau kami berbicara. Cuma yang saya kesalkan, wakil media arus perdana itu hanya bercakap dengan Syuib, tetapi apabila berita disiarkan bagai saya pula yang memberi kenyataan sedangkan saya tidak tahu menahu perkara itu,” katanya.
Kata Alyah, dia jenis orang yang bersikap terbuka apatah lagi banyak perkara sudah dilalui sepanjang 12 tahun bergelar penyanyi. Baginya, apa saja dugaan, komen, gosip, kritikan dilemparkan dia boleh terima tetapi tidak sekiranya perkara itu mengaitkan pihak lain sehingga boleh menimbulkan masalah kepada kerjaya seninya.
“Apabila ada rakan media bertanyakan hal peribadi pun, saya akan berkongsi tetapi tidaklah keterlaluan. Cuma dalam hal ini ada pihak yang mahu menghangatkan kenyataan membabitkan isu peribadi saya sehingga ia jadi lain. “Saya tidak kesah jika mereka nak tulis Alyah itu dan ini tetapi jangan kaitkan atau ‘petik’ nama orang lain.
Membabitkan nama orang lain masalah lain pula akan berlaku. “Hendak diikutkan kenyataan yang saya katakan kepada wakil media arus perdana itu adalah, umur saya sudah mencecah 32 tahun, kalau berkata lebih pun saya perempuan dan banyak hati yang kena jaga.
“Sebaliknya apabila artikel mengenai saya disiarkan lain pula jadinya dan saya sangat kecewa. Saya tidak kisah apabila sekarang ini mereka menuduh saya menafikan, baling batu sembunyi tangan, tapi jangan menuduh saya mahu memboikot media dan cuba membabitkan orang lain mahupun keluarga. Biarlah perkara berkaitan saya saja mereka sentuh dan bukan keluarga atau orang lain,” katanya.
Syuib pula sewaktu dihubungi menjelaskan, dia tidak pernah menyatakan mahu ‘menggam’ media yang menyiarkan berita Alyah didakwa mempunyai hubungan cinta dengan komposer ternama.
“Waktu mereka menghubungi Alyah untuk ditemuramah, saya jelaskan Alyah tidak bersedia memandangkan artikel yang pernah disiarkan sebelum ini tidak menyenangkan. “Sebagai penyanyi, Alyah perlu menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya. Ayat saya juga mudah, tegas saya setakat ini kita tidak mahu ditemuramah terutama pasal meminang. “Tidak mahu panjang cerita memandangkan Alyah banyak projek dan saya tidak mahu tumpuannya terganggu. Itu saja yang saya katakan tidak sangka pula jadi lain. Saya tidak sebut langsung isu mahu ‘gam’ atau boikot media itu.
“Saya akui sebelum itu saya bertanya kepada wartawan media itu, dia mahu bertanya mengenai apa. Katanya, dia mahu mendapatkan penjelasan mengenai berita mengatakan Alyah sudah bertunang. “Sudahlah artikel ditulis sebelum ini lain berbanding apa yang ditemubual, sekarang dia mahu memanjangkan lagi isu itu. Saya takut wartawan yang menulis berita yang sama itu akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Mengenai kenyataan mengatakan dia tidak profesional dan bakal menjatuhkan nama Alyah, Syuib mengatakan dakwaan dibuat itu agak keterlaluan. Tegasnya, sebagai pengurus dan orang yang ada bersama Alyah dia sentiasa bersikap profesional memandangkan dia artis yang punya nama besar. “Orang yang tidak bekerja dengan Alyah tidak faham apa yang harus dilakukan dan dilalui penyanyi itu. Perkara yang boleh menjatuhkan reputasinya perlu dikawal. “Apatah lagi ada beberapa perancangan besar membabitkan kerjaya seninya sedang dirancang termasuklah mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Setakat ini saya lakukan perkara yang saya rasa sebagai pengurus artis harus lakukan demi kebaikan artis di bawah jagaannya,” katanya.
Artikel Alyah
0 comments:
Post a Comment