Friday 16 August 2013

PASANGAN MELAYU BELA 700 ANJING DAN 100 KUCING



ALOR SETAR - Atas dasar belas kasihan, sepasang suami isteri di sini sanggup membela kira-kira 700 ekor anjing dan 100 ekor kucing terbiar di kabin milik mereka. Bekas kontraktor, Md Azmi Ismail, 55, dan isterinya Halija Idris, 65, membawa balik haiwan yang sakit, cacat, tua dan mengalami pelbagai masalah lain untuk diberi penjagaan sebaik mungkin.




“Dulu, kami hanya memelihara kira-kira 60 kucing sahaja. Namun, ketika itu kami tidak membela anjing berikutan tinggal di kawasan perumahan, sebaliknya hanya memberi makanan dan merawat anjing terbiar. “Namun, atas dasar prihatin dan sayang pada haiwan berkenaan, hati saya terdetik untuk menyediakan tempat berteduh buat mereka. Jadi saya berpindah ke kawasan lapang di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini. Lantas, membawa pulang dan merawat anjing terbiar ini,” katanya.

Menurutnya, dia telah menganggap semua haiwan terbabit bagaikan anak-anaknya sendiri, malah tidak sanggup menjual anjing dan kucing terbiar peliharaan mereka ini walaupun ditawarkan dengan pelbagai harga oleh pihak tertentu. Malah, mereka menumpang teduh di tanah berkenaan yang terletak bersebelahan dengan sungai bagi memudahkan mereka menyamak selepas memegang anjing.




Tak lepas daripada cemuhan Tidak semua perbuatan kita akan dipandang tinggi, pasangan suami isteri ini juga tidak terlepas daripada berdepan dengan cemuhan dan pandangan serong masyarakat.

Menurutnya, ada sesetengah pihak mendakwa mereka tidak tahu hukum halal dan haram sebagai seorang yang beragama Islam.

"Kami dikatakan pengotor selain isteri saya juga pernah diludah. "Dia menangis kerana terlalu sedih diperlakukan sebegitu selain mengenangkan tanggapan negatif masyarakat," katanya.

Azmi berkata, demi niatnya yang hanya mahukan haiwan-haiwan berkenaan dilindungi, dia sanggup menerima hinaan dan cemuhan masyarakat.




“Saya tak hirau apa pandangan mereka. Jika tindakan saya menyelamatkan nyawa anjing terbiar ini berdosa. Bagaimana pula jika ia dibandingkan dengan perbuatan anak muda yang terjebak dengan lembah maksiat yang setiap hari gejala itu dilihat makin membimbangkan,” katanya. 

Katanya, dia mengharapkan segelintir masyarakat dapat mengubah persepsi mereka, sebaliknya memahami keadaan sebenar. Berhutang nyawa pada anjing Sementara itu, Halija berkata, dia terhutang nyawa sebanyak dua kali kepada anjing peliharaannya di mana nyawanya pernah diselamatkan oleh haiwan itu daripada mengalami kecelakaan dalam dua kejadian berbeza pada tahun 2011 lalu.

Dalam kejadian pertama, dia hampir dipatuk ular senduk namun diselamatkan anjing bernama Poppy, kemudia dia diselamatkan pula seekor anjing digelar Adik ketika dia hampir lemas akibat tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.

“Saya tak pandai berenang. Masa itu, semua ahli keluarga juga tidak ada. Jadi apabila diselamatkan anjing peliharaan, saya rasa seolah-olah macam mati hidup semula kerana ketika itu saya rasakan tiada harapan lagi untuk hidup,” katanya.

Latih cucu ambil alih rumah perlindungan Azmi berkata, dia memerlukan kira-kira 50 kilogram (kg) beras untuk anjing terbiar peliharaannya, manakala 10 kg ikan dan makanan kucing untuk haiwan peliharaan lain pada setiap hari supaya semuanya berada dalam keadaan sihat. 

“Bayangkan perbelanjaan menguruskan pusat perlindungan ini melebihi RM20,000 sebulan. “Namun, rezeki haiwan peliharaan kami tidak pernah putus-putus kerana setiap kali memerlukan, pastinya ada bantuan dihulurkan pihak tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.




Azmi menambah, dia juga telah melatih cucunya yang dijaga sejak kecil, Affendi Shamsul, 28, untuk membantu menjaga haiwan peliharaannya itu. Katanya, dia juga tidak memaksa Affendi mengurus rumah perlindungan itu. Ia berikutan perkara yang menyentuh tanggungjawab seperti itu lahirnya dari hati seseorang.

Mereka sememangnya tidak pernah mengajar anak dan cucu untuk membenci anjing kerana ia juga adalah makhluk ALLAH SWT. Dalam pada itu, Pak Mie melahirkan hasratnya untuk memiliki tanah lapang yang digazet menjadi tanah rumah perlindungan haiwan supaya mereka dapat meneruskan usaha menyelamatkan haiwan terbiar ini daripada terseksa.

Yazid perlu bantuan jalani rawatan dialisis



YAZID terharu dengan kunjungan DJ Dave dan Nash yang melawatnya di HKL baru-baru ini.


PEMAIN dram kumpulan Search iaitu Yazid Ahmat, 51, kini terlantar sakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rebah di rumah keluarganya di Kluang, Johor pada hari raya ketiga, Sabtu lalu.

Yazid yang menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi itu pada mulanya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru tetapi kemudiannya terpaksa dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari yang sama kerana keadaannya yang tidak stabil.Tiga tahun lalu, pemain dram itu pernah dirawat di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, akibat penyakit yang sama.

Begitupun, penyakit Yazid yang membahasakan dirinya sebagai abang itu kini dipercayai semakin teruk dan rawatan lanjut perlu dilakukan segera.Ikuti penjelasan lanjut daripada Yazid mengenai penyakitnya itu.Kosmo!: Bagaimanakah kesihatan anda sekarang?YAZID: Masih lemah, cepat letih dan kepala juga berasa pening.Boleh ceritakan bagaimana anda boleh rebah pada hari raya ketiga lalu?Biasanya saya berpantang makan tetapi pada hari raya itu tidak. Mungkin terlebih garam dan disebabkan itu penyakit saya datang semula. Penyakit buah pinggang dan darah tinggi ini biasanya ada pantang larang. Tidak boleh terlebih makan atau minum kerana ia akan memberi kesan buruk.

Apakah reaksi isteri mengenai keadaan anda?Dia risau dan menasihatkan saya supaya lebih menjaga makan selepas ini.Apakah yang diberitahu doktor mengenai kesihatan anda sekarang?Doktor menyarankan saya melakukan rawatan dialisis tiga kali dalam seminggu.Apa pendapat anda mengenai saranan doktor itu?Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu sebab kos rawatan dialisis memerlukan duit yang banyak. Saya tidak mampu.

Apa harapan anda, mungkin memohon bantuan?Mudah-mudahanlah. Harap ada sesiapa yang sudi memberikan sumbangan.Setakat ini, siapa yang sudah datang melawat anda di hospital?Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia iaitu Datuk DJ Dave ada datang untuk beri sumbangan. Ada juga beberapa rakan artis turut hadir seperti Nash (Lefthanded), Mas Omar dan pemuzik Aznan Alias.

Bagaimana pula dengan anggota kumpulan Search? Ada yang sudah datang melawat?Belum ada seorang pun anggota Search yang datang melawat saya.

Neelofa Bakal Ke Amerika Tahun Hadapan




Neelofa


PETALING JAYA: Pelakon Neelofa akan meningkatkan lagi kemahiran dunia seninya apabila membuat keputusan untuk mengikuti kursus jangka pendek di Sekolah Filem dan Lakonan Akademi Filem New York, Los Angeles (NYFA), Amerika Syarikat pada tahun depan.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 24, berkata, dia akan menjalani kursus tersebut selama dua bulan yang bertujuan menambah pengetahuannya di bidang seni lakonan.
"Insya-Allah pada awal tahun depan saya akan ke Amerika bagi menjalani kursus lakonan di NYFA.
"Memang sudah lama saya mahu ke Hollywood dan belajar di NYFA hanyalah satu titik permulaan. Memandangkan Liyana Jasmay pernah mengambil kursus di NYFA, saya ada juga tanya dia sedikit informasi terutamanya mengenai hal tempat tinggal," katanya kepada mStar Online.
Tambah Neelofa, dia tidak keseorangan ketika berada di sana kerana rakannya turut mengambil kursus berkenaan.
Sementara itu, Neelofa yang kini sedang menuntut di Kolej Universiti Sunway dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dan Pemasaran berkongsi pengalamannya bahawa bukan mudah untuk menjadi pelajar dan pada masa sama sibuk di lokasi penggambaran.
Malah pelakon filem Lemak Kampung Santan ini tidak terkecuali melalui saat sukar sehingga pernah berputus asa dalam kedua-dua bidang disebabkan gagal menangani tugas berkenaan.
"Diakui saya pernah hampir putus asa kerana tidak dapat memberi fokus dengan pelajaran dan pada masa sama ketika itu saya sedang sibuk dengan penggambaran filem Pilot Cafe (arahan Osman Ali).
"Bagaimanapun bila di fikir-fikirkan balik, ia hanya sementara. Lagipun sejak sekolah lagi, saya cemerlang dalam kesemua peperiksaan. Jadi takkan saya nak sia-siakan hasil usaha saya sebelum ini begitu sahaja.
"Bagaimanapun Alhamdulillah, saya berjaya atasinya dengan membahagi masa antara kerja dan pelajaran sebaik mungkin," tuturnya.

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More