Selepas menerima gelaran Dewi Remaja pada tahun 2010 yang lalu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor terus tidak membuang masa lagi, malah bijak mengatur langkahnya di dalam dunia glamor ini dengan menceburkan diri dalam dunia lakonan dan kini dilihat menyinar dalam dunia pengacaraan.
Sepanjang melibatkan diri dalam dunia lakonan melalui penampilannya yang pertama di dalam filem Azura, Neelofa yang sudah beberapa kali tercalon dalam anugerah-anugerah besar belum lagi pernah memenangi sebarang pencalonannya itu.
Akhirnya, berkat usaha dan kesabaran gadis kelahiran Kelantan itu membuahkan hasil apabila dia telah meraih gelaran Heroin Baru Terhebat di Anugerah Blokbuster 2 melalui lakonannya di dalam filem yang turut bergelar Filem Terbaik iaitu Hantu Kapcai.
"Jujurnya saya memang tidak meletakkan harapan langsung kepada pencalonan saya kali ini. Sebab dah selalu kalah, jadi tak mahu berharap sangat. Syukur Alhamdulillah ini adalah rezeki saya pada malam ini. Terima kasih kepada mereka yang mengundi saya untuk kategori ini.
"Sepanjang penglibatan saya dalam dunia lakonan,ini merupakan anugerah terbesar yang pernah saya terima. Mungkin juga ia rezeki Hantu Kapcai yang mendapat sambutan hangat.
"Anugerah malam ini telah melakar sejarah yang tersendiri dalam hidup saya dan saya akan lebih seronok untuk berlakon selepas ini bila ada penghargaan seperti ini,"ujarnya yang ditemui selepas berakhirnya Anugerah Blokbuster 2 yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru, Sabtu lepas.
Selain daripada itu Neelofa turut menyifatkan kemenangannya di Anugerah Blokbuster 2 adalah rezeki Hantu Kapcai yang menerima banyak anugerah pada malam itu. Watak sebagai seorang gadis bertudung dan satu-satu watak wanita utama di dalam filem tersebut membantu Neelofa meraih gelaran tersebut.
"Saya rasa kemunculan saya didalam Hantu Kapcai lebih banyak mendapat perhatian kerana ketika itu saya seorang sahaja yang membawakan watak wanita utama dan yang lain-lainnya adalah lelaki seperti Zizan, Remy Ishak dan Izzue Islam.
"Jadi secara tak langsung ia melekat di kepala penonton dan peranan saya pula adalah wanita kampung bertudung, sudah tentu ramai yang suka watak begini.
"Dengan kemenangan ini saya akan cuba untuk mempertingkatkan mutu lakonan dan walaupun sering dilihat mengacara berbanding berlakon. Setidak-tidaknya tawaran filem akan cuba saya penuhi untuk terus mengekalkan nama Neelofa di dalam dunia lakonan,"tambahnya lagi ketika bercerita mengenai kemenangannya malam itu.
Pada malam itu Neelofa telah mengenepikan ramai calon hebat lain seperti Anzalna Nasir, Mon Ryanti dan ramai lagi untuk membawa pulang gelaran Heroin Baru Terhebat itu. Kemunculannya bersama Hans Isaac turut mendapat perhatian ramai namun pengacara MeleTOP itu mengatakan kehadiran mereke bersama hanyalah untuk mempromosikan filem Lemak Kampung Santan yang bakal ditayangkan pada 8 Ogos ini.sumber
0 comments:
Post a Comment