"Saya rasa lebih selesa sekiranya kita berbicara dalam bahasa Melayu sahaja. Lagipun Malaysia dan Indonesia menggunakan satu bahasa yang sama," ujar pelakon Joe Taslim, 31, ketika membuka perbualan bersama Kosmo! menerusi panggilan telefon yang dibuat dari Los Angeles, Amerika Syarikat.
Itu jawapan yang diberikan Joe atau nama sebenarnya Johannes Taslim apabila ditanya sama ada dia mahu perbualan dilakukan dalam bahasa Inggeris atau Melayu ketika temu bual secara eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.Menurut Joe, ketika ini dia sedang sibuk menjalani promosi filem Hollywood iaitu Fast & Furious 6 yang menampilkan aktor popular seperti Vin Diesel, Paul Walker, Dwayne Johnson dan Luke Evans.
Menceritakan tentang penglibatannya dalam filem tersebut, pelakon kelahiran Palembang, Indonesia itu berkata, semuanya bermula daripada filem lakonannya sebelum ini iaitu The Raid: Redemption yang ditayangkan pada tahun 2011."Ia merupakan sebuah filem yang diterbitkan di Indonesia dan turut dipasarkan di Amerika Syarikat. Tanpa dijangka, filem itu mendapat sambutan yang baik di sana.
"Atas kejayaan filem tersebut, salah seorang rakan telah mencadangkan supaya saya menjalani uji bakat untuk filem Fast & Furious 6 dan akhirnya saya berjaya," ujarnya yang membawakan watak sebagai seorang pembunuh upahan bernama Jah.Mengenai pengalamannya sepanjang berlakon di samping pelakon hebat Hollywood yang lain, Joe meluahkan bahawa ia merupakan kenangan yang amat sukar untuk dilupakan.
Ujarnya, sepanjang menjalani penggambaran di London dan Los Angeles selama empat bulan bermula Ogos hingga November 2012, dia merasakan dirinya begitu kerdil berbanding pelakon-pelakon yang lain.
"Kalau ditanya tentang perbezaan bekerja dengan produksi Indonesia dan Hollywood, sudah tentu budaya kerja yang diamalkan serta teknologi yang lebih hebat."Namun begitu, apa yang membuatkan saya lebih kagum apabila para pelakonnya mempunyai sikap rendah diri yang tinggi dan sangat baik dengan pelakon baharu seperti saya," ujar pelakon berusia 32 tahun itu.
Menurutnya, Fast & Furious 6 juga menjadi batu loncatan buat dirinya untuk terus mengembangkan kerjaya di Hollywood setelah dia mengikat kontrak dengan syarikat pengurusan ICM Partners.Ujarnya, dengan bernaung di bawah syarikat yang telah menguruskan ramai artis Hollywood popular, peluangnya berkelana di Amerika Syarikat akan menjadi lebih mudah.
"Selepas ini saya akan terlibat dengan beberapa lagi projek bersama produksi di Hollywood dan ini menyebabkan saya terpaksa berulang-alik antara Jakarta dan Los Angeles."Bagi saya, ia merupakan satu cabaran yang cukup tinggi, termasuk terpaksa berjauhan dengan keluarga."Bagaimanapun, ia bukanlah masalah besar kerana sekarang ini saya mampu berhubung dengan anak dan isteri menerusi telefon atau Skype," ujarnya.
Jelasnya, ketika ini dia mahu membuktikan kepada industri perfileman Hollywood bahawa para pelakon dari Asia Tenggara mampu meraih kejayaan yang besar sekiranya lebih banyak peluang yang diberikan.-Kosmo
0 comments:
Post a Comment