Friday, 21 June 2013

Pelajar ketagih ketum

Padang Rengas: Kepercayaan karut kononnya meminum air daun ketum boleh meningkatkan tumpuan belajar serta kecergasan ketika bersukan menyebabkan semakin ramai pelajar sekolah di daerah ini mengambil bahan terlarang itu hingga mengalami ketagihan.
Mereka dikatakan sanggup membazirkan RM4 sehari bagi membeli sebungkus air rebusan daun ketum dipercayai dicampur dengan ubat nyamuk ini yang dijual secara haram oleh beberapa penduduk kampung.
Ketagihan air daun ketum ini menyebabkan rata-rata pelajar ini hilang minat dan tumpuan pada pelajaran selain menyebabkan kesihatan mereka terjejas antaranya mengakibatkan mereka hilang berat badan, muka terbakar, anoreksia, sembelit dan sakit sendi.
Penularan gejala negatif itu didedahkan seorang penduduk kampung Sungai Ali, Ismail Harun, 47, selepas mendapati semakin ramai golongan pelajar sekolah menjadi penagih ketum.
Menurutnya, pelajar terbabit membeli air ketum daripada beberapa peniaga di daerah ini yang menjualnya secara sulit di rumah.
“Saya lihat ramai pelajar sekolah yang membeli air ketum. Penjual mengambil kesempatan meraih keuntungan lebih dengan hasil jualan air ketum kepada pelajar selain golongan dewasa dengan harga rendah.
Foto
AIR ketum yang dibungkus dan sedia untuk dijual.
“Pelajar yang gemar membeli berusia lingkungan 16 dan 17 tahun. Malah yang berumur bawah 15 tahun juga mula ketagih dengan air ketum,” katanya Menurutnya, satu bungkus air ketum dijual dengan harga RM4 hingga RM10 untuk sebungkus. “Saya diberitahu ada di kalangan penjual air ketum terbabit boleh memperolehi pendapatan sehingga mencecah RM10,000 satu bulan.
“Saya amat berharap hukuman lebih berat dan serius dikenakan kepada penjual dan peminum air ketum kerana hukuman sekarang seolah-olah tidak berjaya menakutkan golongan penjual air ketum ini,” katanya.
Menurutnya, kelakuan remaja yang menagih air ketum ini tidak ubah seperti penagih dadah apabila mereka tidak boleh tidur, mudah marah dan bergaduh selain tubuh mereka menjadi kurus kering.
“Ini mungkin berpunca dari bahan lain seperti ubat nyamuk yang dicampur di dalam rebusan daun ketum ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Kuala Kangsar Safuan Raba’ai menggesa pihak sekolah di daerah itu mengenal pasti pelajar yang terbabit dengan ketagihan air ketum dan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu.
“Kita tidak akan mengambil pendekatan menghukum pelajar berkenaan sebaliknya kita mungkin akan menjalankan beberapa aktiviti untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang bahayanya ketum,” katanya.
Beliau juga berharap masyarakat turut memainkan peranan dalam membendung masalah ini dan bukan hanya meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada pihak sekolah.
Timbalan Ketua Polis Kuala Kangsar Deputi Superintendan Guan Beng Kang pula sentiasa mengambil tindakan bagi mengatasi isu penjualan air ketum di Padang Rengas.
Menurutnya, penjual air ketum didakwa mengikut Seksyen 30, Akta Racun dan boleh didenda sehingga RM3,000 jika disabitkan kesalahan.
* Sumber myMetro

0 comments:

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More