Friday 21 June 2013

Harga Petrol naik esok



Pemuda Indonesia mengecat muka dan badan sambil membawa tong plastik ketika mengadakan tunjuk perasaan membantah rancangan menaikkan harga minyak di Jakarta kelmarin.

Jakarta: Indonesia akan menaikkan harga bahan api secara besar-besaran mulai esok (Sabtu), bagi menyelesaikan isu yang menjadi punca perpecahan sejak beberapa bulan sehingga mengurangkan keyakinan pelabur terhadap kuasa ekonomi terbesar Asia Tenggara itu selain menjejaskan kewangan negara.

Subsidi minyak yang dipertikaikan kerajaan lebih memberi manfaat kepada golongan kaya, menelan belanja $20 bilion (RM63.97 bilion) tahun lalu dan menyebabkan akaun semasa bekas anggota Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (OPEC) itu dilanda defisit berikutan meningkatnya import minyak bagi memenuhi permintaan bahan api yang murah. 


“Kenaikan harga minyak akan diumumkan Jumaat tengah malam dan berkuatkuasa selepas ia diumumkan,” kata Menteri Perindustrian, MS Hidayat, semalam. 

Walaupun selepas peningkatannya yang dijangka 44 peratus bagi petrol dan 22 peratus bagi diesel, Indonesia akan tetap memiliki harga minyak paling murah di rantau ini.

Langkah itu berikutan kelulusan kerajaan minggu ini terhadap langkah memberikan wang tunai kepada golongan miskin selama empat bulan bagi membantu mereka berikutan kenaikan harga minyak yang tinggi dan kesan terhadap kenaikan harga secara keseluruhan.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menegaskan bahawa, bantuan diberikan kepada golongan miskin sebelum beliau menandatangani kenaikan harga minyak.

Bantahan dilakukan 


Bagaimanapun bantahan tetap diadakan di seluruh negara minggu ini menentang kenaikan harga minyak berkenaan.

Yudhoyono dilanda masalah sejak beberapa bulan berikutan persoalan kenaikan harga minyak, bimbang bakal menjejaskan politik beliau menjelang pilihan raya umum dan presiden tahun depan.

Beliau bagaimanapun terpaksa akur dengan amaran pelabur dan pegawainya yang 
gagal menangani kos subsidi yang sudah sedia menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Menteri Kewangan, Chatib Basri memberitahu parlimen minggu ini bajet defisit boleh mencapai sehingga 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar jika subsidi bahan bakar tidak dipotong. Belanjawan awal meletakkan defisit pada kadar 1.6 peratus daripada KDNK.


 - REUTERS (BH)

0 comments:

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More