Wednesday, 26 June 2013

Bisikan Rinduku Dinanti Ketika Dayang Live @ The Venue

Bisikan Rinduku Dinanti Ketika Dayang Live @ The Venue
Sebagai menutup hari minggu, Dayang Nurfaizah Awang Dowty atau Dayang, 32, telah tampil di sebuah pentas eksklusif, The Venue, Pavilion Kuala Lumpur semalam, Ahad, 23 Jun untuk satu malam khas bersama peminatnya.

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2013: Setiap kali kemunculan penyanyi ini di mana sahaja pentas, dia pasti akan mencuri mata penonton dari segala sudut. Tidak kiralah melalui pakaiannya, suaranya atau juga lagu yang didendangkan olehnya, Dayang Nurfaizah sentiasa bijak dalam hal ini.

Sudah tentunya peminat pelantun lagu Dayang Sayang Kamu ini tidak melepaskan peluang menghadiri showcase itu dan dapat menyaksikan persembahan 'live' Dayang yang dikenali kerana seringkali tampil dengan lagu cover version yang mantap. Acara bermula kira-kira jam 8.45 malam sebaik sahaja Dayang tiba daripada hotel Prince yang terletak bersebelahan dan dia telah menghiburkan penonton selama lebih kurang 1 jam 20 minit dengan 13 buah lagu yang disampaikan dalam variasi tertentu.
Sebaik sahaja Dayang melangkah ke tengah pentas, tanpa banyak celoteh, penyanyi berkulit hitam manis ini terus memulakan sesi menghiburkan peminatnya dengan lagu Perlukan Cinta daripada album terbarunya, Sayang & Cahaya. Selepas itu dia membawa audiens semua kembali semula ke eranya berambut pendek dengan dendangan lagu Sedingin Mana Cintamu daripada album solo keduanya, Seandainya Masih Ada Cinta.
Dayang memulakan segmen cover version dengan lagu Gerimis Mengundang yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Slam. Menurut Dayang, lagu ini yang asalnya duet bersama Harvey Malaiholo adalah projek runut bunyi untuk filem usahasama Malaysia dan Indonesia tetapi disaat akhir ia ditukar. Sebuah lagi lagu yang dipilih Dayang adalah Suit & Tie yang kini popular dan merupakan single terbaru Justin Timberlake.
Kembali semula kepada pilihan lagunya, Aku Rindu Aku Jemu seraya mengimbau kenangan buat para peminat dimana lagu ini dipetik daripada album Dayang Sayang Kamu. Makin bertenaga, penyanyi kelahiran Sarawak ini meneruskan persembahan dengan medley 4 buah lagu-lagu hitsnya iaitu, Kembalilah Sayang, Mana Mungkin, Pintaku Yang Terakhir dan Hembusan Asmara.
Lagu cover version seterusnya yang dipilih Dayang adalah daripada penyanyi wanita hebat iaitu Alicia Keys dan Beyonce melalui Girl On Fire dan Love On Top sebelum mendendangkan 2 seleksi daripada penyanyi tempatan era 80'an. Gelombang yang merupakan lagu Salamiah Hassan dan Kupendam Sebuah Duka oleh Khatijah Ibrahim disampaikan dengan gaya tersendiri seakan memberi nafas baru kepada dua buah lagu yang kekal evergreen itu.
Rahsia Cinta menjadi lagu ke sembilan dinyanyikan Dayang sebelum I Can't Make You Love Me, antara lagu yang telah lama dia ingin cuba nyanyikan selepas mendengar versi daripada George Micheal mendendangkan lagu yang dinyanyikan dan dipopularkan oleh ramai penyanyi hebat antarabangsa lain termasuklah Adele dan Kelly Clarkson.
Seandainya Masih Ada Cinta tidak akan terlepas daripada repertoire pada setiap persembahan seumpama ini apatah lagi lagu tersebut yang membawa Dayang sehingga berada di kedudukannya sekarang dan juga juara kategori balada pada Anugerah Juara Lagu 16. Jauh meninggalkan nostalgia pada kemuncak kegemilangan Dayang dengan gaya kala diatas pentas, peminat yang hadir turut menantikan persembahan single terbaru Dayang.
Dipetik dan dipopularkan daripada lagu tema drama bersiri di Astro Mustika HD, Dahlia, Bisikan Rindu disampaikan Dayang dengan penuh penghayatan dan mendapat tepukan paling gemuruh ketika itu.
Seperti mana showcase Dayang terdahulu, Dayang Sayang Kamu akan menjadi lagu penutup juga encorepada setiap persembahannya. Dapat dilihat sepanjang acara berlangsung, penonton yang hadir tidak sekadar menonton malah turut sama berhibur dalam persembahan yang sangat santai dan lebih intim.
Antara kejutan pada malam tersebut adalah kehadiran sahabat dan juga individu yang berjasa dalam karier Dayang Nurfaizah, Anuar Zain. Walaupun tiba 5 minit lewat, Anuar tidak sekadar menonton, dia malah sama-sama berhibur dengan seleksi dendangan lagu dari penyanyi yang boleh digelar diva soul negara itu. Pada malam itu, Dayang sekadar tampil ringkas dengan dandanan minimalis oleh Khir Khalid serta menyarungkan gaun kemban sarat jemeki hitam miliknya sendiri.
Murai sempat merakamkan video Dayang Nurfaizah mendendangkan Bisikan Rinduku eksklusif untuk pembaca semua. Selamat menonton!

0 comments:

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More