Tuesday, 24 September 2013

Kilang PAU Babi Di Roboh



SELAYANG - Keresahan penduduk di Jalan 31, Selayang Bharu sejak tujuh tahun lalu berakhir. Kilang pau babi yang beroperasi secara haram di sini akhirnya dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Sebelum ini,  penduduk berhampiran mengadu berdepan masalah bau dan longkang tersumbat sejak kilang berkenaan wujud.

Semalam, satu tindakan penguatkuasaan dilakukan MPS dengan merobohkan sambungan pada kilang yang beroperasi sejak tahun 2006 itu selain menyita peralatan termasuk kompaun bernilai RM12,500.

Arahan pemindahan juga telah dilakukan kerana lokasi kilang itu tidak sesuai iaitu berhampiran kawasan perumahan.

Pengarah Jabatan Bangunan MPS, Azam Mohamad berkata, tindakan perobohan dilakukan kerana pengusaha membuat penyambungan tanpa kebenaran di bawah 70 (11) akta 133.

“Tindakan pemilik membuat sambungan haram menyusahkan penduduk sekitar kerana mengganggu lalu lintas berikutan terlalu hampir dengan jalan.

“Malahan penduduk juga sukar meletakkan kenderaan kerana kawasan tersebut digunakan pemilik kilang untuk kenderaan mereka,” katanya.

Menurut Azam, notis perobohan telah dikeluarkan beberapa kali dan terakhir adalah dua minggu lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan MPS, Dr Razif Zainol Abidin berkata, kilang tersebut sebelum ini dikenakan beberapa tindakan termasuk arahan penutupan atas kesalahan 'establismen' makanan.

“Selain dibimbangi makanan tercemar, kilang tersebut juga didapati melepaskan air dan sisa buangan terus ke longkang utama menyebabkan masalah bau dan longkang tersumbat.

“Lesen operasi mereka telah digantung sejak dua tahun lepas tetapi mereka beroperasi sehingga kini secara haram menggunakan pekerja tempatan dan luar,” katanya.

Operasi penguatkuasaan itu diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPS, Azmi Ismail bersama lebih 60 anggota termasuk bantuan daripada pihak polis bermula jam 9 pagi.

Katanya, tindakan drastik dilakukan selepas aduan berulang diterima daripada orang awam selain tindakan pemilik yang beroperasi walaupun telah beberapa kali di kompaun.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan keluhan penduduk sekitar sini yang tidak tahan dengan bau busuk dan berdepan masalah tikus dan lalat di dakwa datang daripada kilang tersebut.

Kilang pau tersebut dipercayai dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan dimiliki oleh warga tempatan yang turut menyediakan pau babi.

0 comments:

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More