Sunday 8 September 2013

Ahli Silap Mata Diiktiraf Malaysia Book Of Records


alt

KUALA LUMPUR, 9 Sept - Ahli silap mata dan pembaca fikiran terkemuka antarabangsa Kabir Khan Mohamad Reaz menerima dua sijil Malaysia Book of Records bagi pencapaian cemerlang beliau sebagai rakyat Malaysia pertama melakukan 21 persembahan berterusan di Hollywood, Amerika Syarikat pada 2011 dan London, England, Julai lepas.

Kabir Khan, 28, yang berasal dari Pulau Pinang, mula membuat persembahan pada usia enam tahun dan beraksi dalam lebih 500 pertunjukan di peringkat antarabangsa sejak 2008, berkata pengiktirafan itu akan membantu beliau memberi inspirasi kepada belia lain dalam menggapai impian yang dianggap mustahil.

"Ini merupakan satu pencapaian besar kepada saya dan saya berharap untuk membuka sebuah sekolah silap mata tidak lama lagi, mungkin pada tahun depan," katanya kepada media selepas menerima sijil berkenaan hari Sabtu.

Terdahulu, anak Perdana Menteri Nazifuddin Najib Tun Razak melancarkan penampilan sulung beliau di negara ini yang dinamakan sebagai 'Kabir Khan: The Arrival'.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Business Magic Worldwide (M) Sdn Bhd Datuk Wong Yew Kai dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records Datuk Danny Ooi.

Bercakap tentang penampilan sulung beliau pada 20 Sept, 5 dan 12 Okt ini di Hotel Majestic di sini, Khabir Khan berkata pertunjukan itu adalah untuk khalayak dewasa yang bakal memaparkan pembacaan fikiran secara psikik serta ramalan masa depan.

"Datanglah dengan fikiran terbuka dan bersedialah untuk dipukau," katanya.

Harga tiket ialah RM100, RM150 dan RM200.

Sejak kebelakangan ini, Kabir Khan terbabit dalam pertunjukan berprofil tinggi seperti beraksi di depan keluarga diraja di Dubai, diundang pihak berkuasa pelancongan Abu Dhabi serta dipilih Kementerian Pelancongan Malaysia mewakili negara di venue berprestij.

Kabir Khan juga adalah anggota Academy of Magical Arts Magic Castle Amerika Syarikat dan graduan Manual Dexterity and Prestidigitation dari Chaves Studio of Magic Los Angeles serta McBride School of Magic and Mystery di Las Vegas, sekali gus menjadikan beliau seorang daripada hanya beberapa ahli silap mata di dunia yang memiliki sijil.

0 comments:

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More