Sunday, 16 June 2013

Siti Saleha : Tidak Kisah Digelar Lessbian


DIA sudah banyak melakonkan watak gadis yang bersikap cukup feminin dan terbabit dalam dilema cinta.

Drama rantaian hebat Nora Elena dan Ruby sebagai contohnya yang telah menjadikan dirinya cukup sinonim dengan watak lakonan yang sebegitu.

Namun aktres jelita, Siti Saleha nampaknya sudah bosan dengan hakikat tersebut. Dia kini mencabar diri untuk membawakan karakter lebih berat dalam karier lakonannya yang sudah bermula sejak tahun 2008 itu.

Buat kali pertama, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu membawa peranan sebagai seorang lesbian bernama Tina dalam filem Tujuh. Dia bersetuju menerima tawaran melakonkan peranan lesbian bukan disebabkan gagal dalam percintaan dengan adik lelaki kepada pelakon Sharifah Sofia iaitu Syed Adney Syed Hussein, yang juga penjaga gol pasukan bola sepak Terengganu.

Sebaliknya, dia yang selesa dipanggil Saleha menjelaskan bahawa watak lesbian itu merupakan salah satu peluang untuknya menerokai sisi baharu dalam lakonannya.

Mengulas mengenai karakter tersebut, dedahnya, Tina memerlukan dia 'merogol' seorang wanita bernama Suri (lakonan Marsha Milan).

Bukan melakukan adegan seksual yang sebenar malah, tiada adegan cium bibir antara dirinya dan Marsha dalam filem itu.

Begitupun, Saleha mengakui tiada sebarang masalah melakonkan adegan ranjang bersama Marsha. Dia juga menegaskan boleh bercium dengan Marsha, jika itu adalah kehendak skrip filem.

Bunuh diri

Pendirian yang agak tegas berani daripada pelakon berusia 23 tahun itu, namun adakah dia tidak berasa bimbang dengan pandangan masyarakat negara ini kelak apabila filem tersebut ditayangakan di pawagam?

Sedar masyarakat Malaysia begitu sensitif apabila membabitkan nilai-nilai kerohanian, luah Saleha, dia bersedia menerima kritikan dan tidak kisah jika masyarakat mahu menggelarkan dirinya lesbian.
"Ketika bersetuju menerima tawaran peranan lesbian ini, saya tidak terfikir langsung mengenai kontroversi yang akan timbul.

"Walau bagaimanapun, saya bersedia dengan kritikan orang ramai terhadap watak Tina itu nanti.
SITI SALEHA mahu membuktikan kredibiliti lakonannya menerusi filem Tujuh.


"Saya juga tidak kisah jika masyarakat memanggil saya lesbian kerana ia hanya satu lakonan dan bukan diri saya yang sebenar," ujarnya yang mengakui cuma melakonkan watak lesbian tetapi turut menegaskan bahawa dia bukan seorang yang sebegitu.

Berkongsi sedikit mengenai filem Tujuh, Saleha memberitahu filem seram itu berlatarkan pada tahun 1970-an.

"Tujuh mengisahkan sekumpulan remaja yang menghabiskan percutian semester mereka dengan mengadakan parti liar di sebuah rumah persinggahan keluarga di atas bukit. Rumah itu dijaga oleh Tok Batin dan anaknya, Suri.

"Parti liar itu menjadi tidak terkawal apabila salah seorang daripada mereka telah merogol Suri. Sebaik sahaja parti itu tamat, Suri bersemuka dengan kumpulan remaja itu dan berjanji akan membalas dendam. Suri kemudian terjun membunuh diri.

"Amaran yang dirasakan hanya gurauan itu menjadi benar apabila salah seorang daripada remaja itu iaitu Yasmin dijumpai mati tergantung keesokan harinya," ujarnya mengenai filem arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin itu.

Selain Saleha dan Marsha, Tujuh turut dibintangi Johan A'sari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Riz Aminuddin, Cristine Suzanne dan Wan Hanafi Sue.

Tidak kekok bertudung

Dalam perkembangan kerjayanya, baru-baru ini Saleha dilantik menjadi duta produk Kotex untuk tahun 2013 bersama pelakon Nad Zainal.

Selain dilantik sebagai duta, Saleha juga membawa peranan sebagai Nur Hawa menerusi drama Memberku Hawa musim kedua yang sudah bersiaran sejak 5 Jun lalu, setiap hari Rabu, pukul 10 malam di Astro Ria (saluran Astro 104).

"Saya membawa watak Nur Hawa iaitu seorang wanita bertudung dalam drama ini dan dalam masa yang sama saya juga merupakan duta produk tuala wanita ini.

"Selain komitmen saya melakonkan watak Nur Hawa, saya dan Nad juga perlu melakukan beberapa program luar bersama pengguna Kotex.

"Namun begitu di alam realiti, saya tidak bertudung dan imej saya berbeza berbanding dalam drama berkenaan," ujarnya.
SITI SALEHA tidak mahu peminatnya keliru dengan imej dirinya yang berlainan dalam produksi lakonannya.

Saleha menegaskan tentang perkara itu kerana tidak mahu peminat keliru dengan imej dirinya yang bertudung dalam drama Memberku Hawa tetapi sebaliknya tidak mengenakan tudung dalam rutin kehidupannya.

Mengulas lanjut, tuturnya, apa yang lebih penting adalah tanggungjawab sebagai jurucakap atau duta produk tersebut dalam memberi inspirasi kepada setiap wanita.

Drama Memberku Hawa turut dibintangi oleh Bella Daly, Cristina Suzanne, Fattah Amin, Zain Hamid dan Sharifah Sofia.

Kakak bekas kekasih 

Turut berlakon bersama dengan kakak Syed Adney iaitu Sharifah Sofia dalam drama tersebut, Saleha diajukan soalan sama ada hubungannya dengan Sharifah Sofia menjadi renggang atau tidak.

Menurut Siti Saleha, dia tiada masalah berlakon dengan kakak bekas kekasihnya itu kerana hubungannya dengan keluarga Sharifah Sofia masih baik dan mereka tiada masalah untuk keluar bersama jika ada masa terluang.

"Putus cinta tidak jejaskan hubungan baik saya dengan dia (Sharifah Sofia), malah kami sering keluar bersama.

"Mungkin saya dengan Syed Adney tiada jodoh, tetapi saya masih baik dengan keluarganya," luahnya.

Ditebak sama ada dia kini sudah ada pengganti, ujar Siti Saleha, dia masih solo dan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya selepas dua tahun hidup solo tanpa cinta.

0 comments:

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More