TIGA pelakon ini mempunyai fasa yang berbeza dalam industri seni lakonan. Sharnaaz Ahmad sudah mempunyai tempat yang selesa. Dia dilihat sebagai seorang aktor yang mempunyai cara lakonan yang tersendiri malah konsisten dalam setiap persembahannya. Walaupun pernah dihimpit kisah peribadi, khalayak tetap setia menjadi penonton untuk menyaksikan keterampilannya sebagai aktor yang tidak pernah gagal dalam lakonan.
Pelakon Ryzal Jaafar pula sudah agak lama dalam dunia seni lakon namun, dia sendiri mengaku belum sampai ke satu titik yang membuatkan namanya cukup besar sebagai dramatis mahupun aktor. Mungkin kerana sering diberikan watak baik, bakat Ryzal umpama bagai dipenjara.
Aktres muda, Chacha Maembong juga masih mentah dan baharu dalam seni persembahannya. Namun, kali ini dia mendapat kepercayaan Along Kamaruddin sebagai sutradara untuk membawakan watak utama dalam drama Mira Sofea. Drama itu menggabungkan tiga pelakon ini dalam satu 'pentas' dan akan ke ditayangkan bermula esok pada pukul 5 petang di Astro Prima (Saluran 105).
Kisah cinta, kekeluargaan dan manusia yang hidup dalam perasaan hasad dengki dipamerkan dalam drama yang akan ditayangkan sebanyak 24 episod ini. Selain berbicara mengenai drama di bawah Orangetree Production Sdn. Bhd., ini, ketiga-tiga pelakon itu turut berkongsi pandangan tentang 'demam' drama tempatan yang mendapat sambutan hebat daripada penonton tempatan.
Terangkan tentang watak kalian dalam drama Mira Sofia ini?
SHARNAAZ AHMAD (SA): Saya membawakan watak Ryan yang merupakan anak taukeh ikan bilis berjaya sehingga menyebabkan dia menjadi lelaki yang mementingkan diri. Ryan gemar menghabiskan duit keluarga dan pada masa yang sama, dia gilakan Mira. Dia menggunakan segala taktik dan cara untuk mendapatkan Mira. Dia juga angkuh, suka ambil kesempatan, tidak boleh terima jawapan 'tidak' serta akan menggunakan orang lain untuk mencapai impiannya.
CHACHA MAEMBONG (CM): Saya membawakan watak Mira yang merupakan seorang pelajar kelas masakan di kolej. Dia merupakan seorang yang tegas dan tidak mudah mengalah. Dia rapat dan terlalu sayangkan ibunya. Mira juga digilai Ryan dan akibat menolak pinangan Ryan dia menerima pelbagai masalah dan mendapat nasib buruk sebelum bertemu kebahagiaan. Dia seorang yang tabah.
RYZAL JAAFAR (RJ): Saya membawakan watak Azlan yang pulang bekerja di luar negara. Dia merupakan seorang lelaki yang baik, penyayang, tekun, menghormati orang tua dan kuat pegangan agama.
|
SA: Melihatkan pelakon yang hebat-hebat dan arahan Along, saya dengar dia pantang kalau pelakon tidak ikut skrip yang diberikan. Saya jenis tidak ikut skrip tapi, dia boleh terima cara saya.
CM: Bagi saya, lakonan untuk kali ini paling susah kerana kali pertama membawakan watak utama bersama-sama beberapa pelakon yang hebat. Saya membawakan watak yang berat dan perlu mempamerkan pelbagai emosi seperti sedih, menangis dan lari dari rumah. Walaupun saya sudah lama bermula dalam bidang lakonan, pada hakikatnya, saya masih belajar. Cabaran paling besar ialah adegan pergaduhan dan apa sahaja yang melibatkan Sharnaaz.
RJ: Boleh saya katakan bahawa watak kali ini tidaklah mencabar sangat kerana saya masih membawakan watak baik.
Adakah anda cenderung untuk membawakan baik atau jahat?
SA: Watak jahat bagi saya membosankan. Itu sebabnya saya suntik unsur lawak dalam watak jahat yang saya bawakan kini. Tidaklah tertekan sangat. Tetapi, sebenarnya kalau diberikan watak jahat, biarlah jahat yang ekstrem. Barulah puas untuk saya lakonkan. Saya sebenarnya pernah membawakan watak baik iaitu dalam drama Cinta Mukhlis. Memang feel saya membawakan watak itu kerana jiwa saya tengah kacau.
RJ: Kebanyakannya memang watak baik pun yang saya bawakan. Kalau boleh, memang saya mahukan cabaran lain. Mungkin kerana wajah, saya mendapat lebih banyak watak protagonis. Saya tidak menolak malah menerima dan melakonkannya dengan sebaik mungkin.
Sharnaaz, anda mengatakan tidak terlalu terikat dengan skrip dan akan membuat skrip sendiri. Kenapa?
SA: Bukan sepenuhnya tidak ikut skrip. Tetapi, atas olahan saya. Saya memberikan penambahbaikan ke arah kebaikan dan isi kandungannya masih sama. Semua pengarah filem lakonan saya dapat menerima cara saya bekerja.
|
Cabaran untuk lakonan kali ini?
Bagaimana kalian melihat peningkatan populariti dan penonton dalam industri drama akhir-akhir ini?
SA: Secara jujurnya, saya melihat di Malaysia, industri kita memang mengalami lambakan pelakon baharu baik lelaki mahupun perempuan. Tetapi, kita masih hidup dalam budaya lama iaitu cenderung kepada yang popular sahaja. Yang tidak atau belum mempunyai suntikan glamor dan popular tidak diberi ruang serta peluang. Ramai pelakon baharu yang berbakat besar tidak mendapat peluang. Saya rasa mereka perlu diberi peluang.
RJ: Saya setuju dengan pernyataan tersebut kerana jika kita lihat, sejak akhir-akhir ini drama Melayu tempatan memang mendapat sambutan dengan jumlah penonton yang tinggi. Contohnya, drama lakonan saya, Setia Hujung Nyawa yang berjaya mencapai empat juta penonton. Malah, penonton memberikan respons yang sangat bagus sehingga terbawa-bawa dengan lakonan aktor atau aktres. Mereka akan meluahkan rasa geram, sedih, suka atau simpati sebagai tanda apresiasi mereka terhadap lakonan kita.
Apakah faktor yang membuatkan drama tempatan kini diterima dengan meriah oleh penonton?
SA: Saya melihat faktor ini cenderung kepada peningkatan mutu lakonan malah para pengarah baharu juga sudah maju ke hadapan. Bukan bermaksud saya menyatakan sutradara lama tidak begitu cuma mereka sudah mempunyai ideologi masing-masing. Jalan cerita juga penting. Industri sudah mempunyai persaingan yang sihat yang membuatkan pelakon dan pengarah melakukan yang terbaik untuk hasil yang bagus.
RJ: Pandangan saya, jalan cerita dan pelakon itu sendiri. Stail drama baharu lebih kepada adaptasi novel dan penonton ternyata menggemarinya. Jalan cerita lebih segar dan tidak terlampau berbentuk drama Melayu.
|
Bagaimana pula kalian melihat fenomena kecenderungan stesen televisyen memilih wajah dramatis mereka sendiri?
SA: Saya berharap biarlah pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kredibiliti. Kalau pelakon lama, kita sudah tahu kebolehan mereka tetapi tidak untuk pelakon baharu. Boleh kalau ingin memilih tetapi tidaklah sepanjang masa. Kasihan dengan pelakon baharu yang namanya ditolak tanpa diberi peluang. Kita sama-sama cari makan dalam industri dan biarlah adil. Dulu, saya berdepan dengan situasi ini tetapi selepas filem dan drama saya keluar, saya diberi kepercayaan oleh pihak stesen televisyen.
RJ: Itu yang berlaku sekarang, pelakon-pelakon memang takut dengan keadaan ini. Yang jadi kegemaran memang akan berasa seronok dan sebaliknya. Saya berasa kasihan dengan situasi ini dan kita memang sudah maklum bahawa stesen televisyen memang mementingkan rating. Itulah sebabnya ada faktor pemilihan wajah-wajah yang sama dalam banyak produk atau naskhah drama. Bagi saya, sepanjang perjalanan saya sebagai pelakon, daripada mula sudah okey dan telah pun mendapat kepercayaan.
0 comments:
Post a Comment