Saturday, 24 August 2013

Fathia lebarkan sayap di Uzbekistan


FATHIA menggayakan kostum rekaan Albert King ketika sesi fotografi di Samarkand, Uzbekistan.



PENDIRIAN Nur Fathia Abd. Latiff dan Aiman Hakim Ridza Abdoh untuk tidak mengesahkan gosip percintaan mereka sebenarnya menjadikan nama dua pelakon muda itu semakin 'panas.'
Nama Fathia, 25, dan Aiman, 24, mula dikaitkan apabila sebuah blog gosip mendakwa mereka berpelukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 23 April lalu.
Biarpun sudah pelbagai jawapan diberikan Fathia bagi menafikan gosip tersebut, isu berkenaan masih disebut-sebut dan seolah-olah ia seperti kelihatan benar-benar bercinta.
Namun, menerusi drama bersiri berjudul Diandra yang kini hangat ditayangkan di TV3 pada setiap Selasa, pukul 9 malam menerusi slot Lestary, mereka sememangnya berlakon sebagai pasangan yang saling bercinta.
Mula ditayangkan pada 20 Ogos lalu, naskhah tersebut menampilkan Fathia sebagai Diandra, seorang gadis lasak yang menjadi pengawal peribadi kepada seorang pelakon terkenal yang berlagak iaitu Adam Fahmi, lakonan Aiman. Mereka akhirnya saling jatuh cinta.
Menjawab persoalan tentang kenapa sukar sangat untuk dia mengaku bercinta dengan Aiman, ujar Fathia: "Saya tak mahu kalau banyak gosip cinta akan menyebabkan saya digelar artis sensasi sedangkan karier (lakonan) tidak ke mana.
"Biarlah buat masa ini, cukup saya katakan bahawa diri ini dan Aiman serasi bersama dan masih dalam peringkat mengenali hati budi."

FATHIA bergambar kenangan bersama beberapa pemuda Uzbekistan lengkap dengan kostum pahlawan negara itu.



Jimmy Choo
Bukan sekadar cakap-cakap kosong, Fathia telah membuat perancangan untuk membuat anjakan bagi menjadi insan seni yang lebih berkaliber.
Misi Fathia itu bakal menghubungkan budaya dan kesenian antara Malaysia dan Republik Uzbekistan.
Pada bulan Oktober ini, Fathia dijadual menjejakkan kaki buat kali kedua di Uzbekistan. Kedatangannya kali ini memikul tanggungjawab yang cukup besar.
"Uzbekistan menganjurkan pelbagai acara berkaitan seni sepanjang bulan Oktober.
"Saya dijadualkan ke sana bermula 22 hingga 27 Oktober bagi menghadiri Festival Filem Antarabangsa Tashkent 2013 dan Pertunjukan Fesyen Style.uz 2013 yang diadakan bersempena Minggu Fesyen Uzbekistan pada tahun ini.
"Jika tiada aral melintang, saya akan menjadi salah seorang penyampai anugerah pada festival filem mega tersebut.
"Pada pertunjukan Style.uz 2013, saya akan muncul sebagai model bagi memperaga busana rekaan pereka fesyen ternama Malaysia, Albert King yang dilengkapi aksesori eksklusif jenama tersohor, Rafflesia.
"Fathia dan Albert umpama wakil delegasi Malaysia pada Style.uz yang pada setiap tahun dihadiri oleh delegasi dari pelbagai negara.
"Antara yang pernah menyertai Style.uz termasuklah jenama-jenama terkenal seperti Hugo Boss dan Versace.
"Selebriti bertaraf dunia yang pernah menghadiri Style.uz termasuklah bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dan bintang legenda, Sting," tutur Fathia.
Tambahnya: "Melengkapkan wakil delegasi Malaysia sebagai tetamu kenamaan Style.uz tahun ini ialah pereka kasut bertaraf dunia, Datuk Jimmy Choo yang sudah mengesahkan kehadirannya."

GULNARA KARIMOVA (tengah) merupakan kunci kepada kemajuan tentang aspek seni dan budaya di Uzbekistan.



Anak presiden
Ditanya bagaimanakah dia meraih peluang keemasan tersebut yang berpotensi melebarkan popularitinya di Uzbekistan, Fathia memberitahu, ia ekoran kunjungan kali pertamanya ke sana pada April lepas.
Kehadiran Fathia ketika itu disambut oleh bukan calang-calang orang tetapi Gulnara Karimova iaitu anak sulung kepada Presiden Uzbekistan, Islam Karimov.
"Pada awal Mei lalu, saya terbang ke Uzbekistan buat kali pertama selama enam hari yang dibawakan oleh pemilik Rafflesia, Sin Cheong Loong dan Winnie Sin.
"Kami menghadiri acara seni yang dikenali sebagai Festival Arslar Sadorsi 2013," ujarnya yang telah dibawa melawat ke beberapa buah bandar di Uzbekistan seperti Samarkand, Tashkent, Bukhara dan Navoi dengan menaiki jet peribadi milik kerajaan negara itu.
Ujar Fathia, dia mengalami pengalaman baharu yang sangat hebat di negara yang kaya dengan nilai budaya tersebut.
"Saya sangat kagum kerana nilai dan tradisi lama di Uzbekistan begitu terpelihara dan dipandang tinggi.
"Malah, ia diangkat menjadi sesuatu yang sangat hebat dan menarik menerusi festival dan seumpamanya sehingga menimbulkan rasa kagum masyarakat luar Uzbekistan," katanya.
Apa yang menarik, kunjungan Fathia ke negara tersebut lebih bermakna apabila dia meraih peluang untuk muncul dalam majalah terkenal Uzbekistan, Bella Terra edisi Julai tahun ini.
"Saya berpeluang menjalani sesi fotografi untuk enam muka surat majalah Bella Terra dengan menggayakan enam kostum moden rekaan Albert King serta perhiasan koleksi eksklusif Rafflesia.
"Walaupun agak meletihkan kerana mula disolek pada pukul 3 pagi, saya berasa puas kerana bukan mudah untuk meraih peluang tersebut," ujar Fathia penuh teruja.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2cwgoPQoQ 
Hakcipta terpelihara 

0 comments:

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More