Sebelum ini pelakon Ana Dahlia pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Nadzri atau Chef Riz yang juga anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan.
Namun begitu, jodoh mereka tidak berpanjangan. Kedua-duanya mengambil keputusan untuk bercerai tahun lalu setelah berkahwin tidak sampai setahun.
Berpeluang bertemu dengan Ana ketika rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini, ada cerita terbaharu tentang pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Pilih Kasih musim pertama itu.
Kosmo!: Bagaimana kehidupan anda setelah hampir setahun bergelar janda?
ANA DAHLIA: Setakat ini tiada perubahan besar yang berlaku terhadap diri saya, malah saya selesa dengan kehidupan sekarang di samping fokus kepada kerjaya lakonan.
Segala kejadian yang menimpa diri saya sebelum ini menjadi pengajaran yang paling berguna. Sekurang-kurangnya pengalaman itu membuatkan saya lebih berhati-hati.
Setelah dua kali gagal dalam perkahwinan, adakah anda serik untuk berkahwin lagi?
Sudah tentu saya tidak serik untuk berkahwin lagi kerana dalam Islam pun perkahwinan itu merupakan suatu perkara yang sangat dituntut. Namun begitu, setakat ini saya belum lagi bertemu dengan lelaki yang sesuai.
Lagipun, jodoh dan pertemuan ini sudah ditentukan oleh Allah. Buat masa ini saya belum rasa terdesak untuk mendirikan rumah tangga buat kali ketiga.
Macam mana pula hubungan anda dengan Chef Wan?
Bagi saya Chef Wan merupakan seorang bapa yang sangat baik dan dia cukup menyayangi saya.
Malah dulu, dia tetap menerima saya sebagai menantu meskipun dia tahu saya seorang janda sebelum berkahwin dengan Chef Riz.
Apa yang membuat saya lebih terharu ialah apabila beliau meluahkan rasa sedihnya dan seperti tidak percaya bahawa saya dan Chef Riz sudah bercerai.
Begitu juga apabila saya bertemu dengan Chef Riz dalam mana-mana acara, kami masih bertegur sapa kerana saya enggan bermusuh dengan sesiapa. Dia juga pernah menjadi suami saya dahulu.
Boleh komen tentang khabar angin yang mengatakan Chef Riz akan berkahwin?
Sekiranya khabar angin tersebut benar, saya cuma boleh cakap alhamdulillah dan tahniah serta meminta dia fokus kepada rumah tangga. Sebagai bekas isteri, saya cuma mampu mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Sepanjang bergelar janda, adakah ada mana-mana lelaki yang ingin rapat dengan anda?
Tidak dinafikan ada yang ingin menjalinkan hubungan serius dengan saya.
Namun begitu, pengalaman lampau membuatkan saya kini lebih matang dan selalu timbul perasaan syak wasangka terhadap mana-mana lelaki yang cuba mendekati saya.
Apa aktiviti anda sepanjang bulan puasa ini?
Biasanya ada artis yang mengambil keputusan untuk berehat, tetapi saya masih meneruskan aktiviti lakonan.
Sekarang saya tengah sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Mat Cepat sebanyak 13 episod untuk siaran RTM.
Tahun ini, saya akan menyambut hari raya di kampung halaman di Taiping, Perak bersama keluarga.
Untuk persiapan Aidilfitri pula saya lebih banyak menempah kuih raya kerana tidak ada masa untuk membuatnya.
-Kosmo
0 comments:
Post a Comment