Tuesday, 30 July 2013

(GAMBAR) Kalimah Syahadah Terbalik Dicetak Pada Iklan Courts Mammoth



Sebuah syarikat jualan perabot dan barangan elektrik, Courts Mammoth, di Kuantan sudah menghentikan pengedaran risalah iklan mengandungi kaligrafi kalimah syahadah dicetak secara terbalik sejak beberapa hari lalu.
Jurucakap Courts Mammoth berkata, pengedaran dihentikan setelah mendapat maklumat daripada cawangan di Dungun, Terengganu dan kunjungan siasatan Jabatan Agama Islam Daerah Dungun berkaitan perkara tersebut.
Menurutnya, selepas mendapat maklumat mengenai percetakan kaligrafi kalimah tersebut, Courts Mammoth cawangan Kuantan segera menghentikan pengedaran kepada orang ramai.
“Kami tidak mengetahui kaligrafi tersebut dicetak secara terbalik kerana menyangka hanya kaligrafi biasa, sehinggalah dibaca melalui cermin, barulah jelas kelihatan satu kalimah syahadah.
“Kami begitu menghormati kalimah tersebut dan langsung tiada niat mempersendakannya, kerana itu kami tidak lagi mengedarkannya kepada pelanggan,” katanya ketika disoal siasat pegawai Jaip, di sini, semalam.
Katanya, mungkin hanya sesetengah pelanggan mempunyai risalah tersebut kerana Courts Mammoth sempat mengedarkannya pada hari promosi bermula.
“Namun mungkin ada yang menerima risalah tersebut daripada pengedar kami yang sah menghantar dari rumah ke rumah,” katanya.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Mohd Anis Mohd Azmi berkata, Jaip turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai bahan cetakan iklan mengandungi kaligrafi secara terbalik itu menyimpannya sahaja.
“Walaupun risalah iklan itu salah disebabkan sengaja atau tidak ketika dicetak, ia sama sekali tidak boleh diedarkan, namun mereka yang memiliki juga jangan membuangnya.
“Jika mereka yang memiliki risalah tersebut bertindak membuangnya merata-rata, ia boleh dianggap satu penghinaan kerana tertera nama Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Justeru itu katanya, Jaip akan berurusan terus dengan ibu pejabat syarikat Courts Mammoth untuk mendapatkan maklum balas lebih tepat serta perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyelesaikan masalah tersebut.

0 comments:

My Paradise68 Archive

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More